Sepasang Kekasih Dicekup 'Henjut' Kali Kedua Dalam Kereta

 

KUALA TERENGGANU - Tidak pernah serik, walaupun sebelum ini iaitu pada 20 
Februari lalu, mereka pernah ditangkap khalwat di dalam kereta, namun sepasang 
kekasih ini dilihat masih belum insaf apabila mengulangi perbuatan sama selepas 
ditangkap dalam keadaan berbogel di tempat duduk belakang dalam sebuah kereta, 
30 April lalu.

Bagaimanapun, perbuatan tidak bermoral mereka menerima pembalasan apabila 
masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga minggu serta denda RM4,700 dan 
sembilan bulan penjara lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Namun, difahamkan, kedua-dua mereka, Alwafi Embong, 27, yang bekerja sebagai 
mekanik dan pasangannya, Zamiratul Akma Mohamad, 25, seorang penasihat
kecantikan terpaksa memilih untuk meringkuk di penjara selama sembilan bulan 
tiga minggu kerana gagal membayar denda.

Hakim Syarie, Kamalruazmi Ismail, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh 
selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan iaitu 
khalwat dan cuba melakukan persetubuhan luar nikah.

Bagi pertuduhan pertama, Alwafi yang berasal dari Tok Jiring di sini, dan Zamiratul 
yang berasal dari Kuala Telemong, Hulu Terengganu didakwa mengikut Seksyen 31
(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana melakukan 
khalwat.

Alwafi ditemui sedang tidur di tempat duduk belakang sebuah kereta, manakala 
pasangannya tidur di tempat duduk penumpang hadapan ketika serbuan dilakukan
sepasukan penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu jam 3.45 pagi 
pada 20 Februari lalu, di kawasan parkir KFC Batu Buruk di sini.

Ketika kejadian, pasukan penguat kuasa yang menerima maklumat awam mendapati 
sebuah kereta diletakkan di kawasan parkir itu dalam keadaan mencurigakan sebelum
pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka yang tiada sebarang hubungan suami 
isteri atau mahram, berada di dalam kenderaan tersebut.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh yang sudah bernikah empat hari lalu (21 Ogos 
2014) masing-masing dikenakan hukuman denda RM2,400 atau empat bulan penjara 
sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, pasangan berkenaan ditemui dalam keadaan berbogel di 
tempat duduk belakang sebuah kereta, di hadapan sebuah rumah di Tok Jiring, kira-kira 
jam 1.50 pagi pada 30 April lalu.

Siasatan lanjut mendapati mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram dan 
didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 
(Terengganu) 2001, iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan
persetubuhan luar nikah.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua mereka masing-masing dikenakan hukuman tiga minggu
penjara dan denda RM2,300 atau tambahan lima bulan penjara sekiranya gagal men-
jelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama 
Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili 
peguam syarie.

KONGSI KEPADA RAKAN