Seorang pelajar perempuan kolej swasta diheret dari sebuah tempat letak kereta
di Sentul di sini, sebelum dirogol pensyarahnya sendiri, pagi kelmarin.
Sebelum kejadian, pensyarah berusia lingkungan 40-an berkenaan memperdaya
mangsa berjumpa di pejabatnya di sebuah kolej swasta di ibu kota dengan alasan
berbincang mengenai pelajaran, jam 9 pagi.
Sebaik mangsa tiba di biliknya, lelaki terbabit mengugut akan menggagalkan pelajar
itu dalam peperiksaan pada setiap semester jika enggan keluar bersarapan dengannya.
Sumber polis berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan berkenaan terpaksa akur,
namun sebaik masuk ke dalam kereta, pensyarah itu membawa pelajar itu ke rumahnya
di Sentul. “Ketika dalam perjalanan, telefon bimbit mangsa dirampas dan sejurus tiba
di kawasan letak kereta di kediamannya, pensyarah itu mengheret mangsa hingga ke
rumahnya.
“Sebaik masuk ke dalam rumah, mangsa dipukul dan dua tangannya diikat. Baju mangsa
dikoyak sebelum dia dirogol pensyarah itu,” katanya.
Menurutnya, sebelum meninggalkan pelajar itu bersendirian, pensyarah berkenaan
membasahkan pakaian mangsa dipercayai bagi mengelakkannya melarikan diri.
“Biarpun pakaiannya basah, mangsa tetap memakai semula pakaiannya sebelum cuba
meloloskan diri namun gagal disebabkan pintu berkunci.“Lelaki itu mengugut membunuh
mangsa jika menceritakan kejadian itu kepada sesiapa,”katanya.
Sumber itu berkata, lelaki terbabit menghantar mangsa ke stesen transit aliran ringan
(LRT) di Jalan Tun Razak, di sini, sebelum sekali lagi mengugut membunuh mangsa
sekiranya mendedahkan kejadian itu kepada orang lain.
Katanya, mangsa menghubungi kakaknya sebelum menceritakan kejadian berkenaan.
Mangsa yang ditemani kakaknya membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini, untuk
siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala
Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima
laporan kejadian berkenaan.
Katanya, sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat namun usaha mengesan
suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan.
Ini kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu membabitkan pensyarah
melakukan jenayah seksual terhadap penuntut wanita masing-masing.
Pada 29 0ktober lalu, Harian Metro melaporkan perbuatan seorang pensyarah sebuah
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia lingkungan 50-an yang
mencabul pelajar perempuan di bilik universiti berkenaan.
Pensyarah terbabit didakwa memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan
aksi ringan-ringan dengan mengumpan meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan