Luahan Sedih Ustaz Iqbal Yang Menjadi Mangsa Program Menyentuh Anjing


Assalamualaikum


Cuaca sosial media pada ketika ini agak panas berhubung program “I Want To Touch
a Dog”, yang saya terlibat secara langsung di dalamnya untuk memberi perkongsian 
ilmu, setelah mendapat tahu program ini telah mendapat izin dari pihak MAIS.

Pada awalnya, penganjur program, Syed Azmi,menjemput saya untuk mengisi slot ilmu.
Saya merasakan ini adalah peluang yang baik untuk menyampaikan mesej Islam kepada
Muslim dan non-Muslim dan alhamdulillah sehingga kini mereka masih menghubungi 
saya untuk bertanyakan perihal Islam dengan lebih lanjut.

Saya difahamkan bahawa tempat perkongsian ilmu diasingkan dari tempat anjing-anjing 
berkumpul.

Saya akui yang saya terlepas pandang bahawa program ini disalah tafsir malah diambil
kesempatan oleh setengah pihak untuk menggalakkan masyarakat Melayu awam 
bermesra-mesra dengan anjing tanpa sebab.Saya tidak pernah terfikir perkara ini boleh 
berlaku seolah-olah saya yang menggalakkannya.

Saya memenuhi jemputan ini, dan menjelaskan kepada yang hadir mengenai hukum – 
hakam yang jelas menurut mazhab Syafi’e, seperti yang terdapat dalam fatwa JAKIM.

Saya ingin JELASKAN disini bahawa saya TIDAK BERSETUJU dengan aksi peluk,
cium anjing yang dilakukan pada hari tersebut oleh peserta-peserta program.

Saya juga jelas menerangkan tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu.
Saya terkilan kerana pihak media hanya menyebarkan sebahagian ucapan saya yang 
seolah-olah saya menyokong perbuatan tersebut, manakala bahagian hukum hakam tidak
disebutkan oleh pihak media.

Saya memohon maaf secara terbuka di atas segala kecelaruan dan kepincangan yang
berlaku. Iktibar dan pelajaran yang berharga saya perolehi dari apa yang telah berlaku.
Saya mengharapkan program ini pada masa hadapan dapat dilakukan dalam suasana 
yang lebih menghormati sensitiviti masyarakat setempat.

Terima kasih di atas segala kritikan dan teguran yang membina.Saya yakin segalanya 
ada hikmah dari Allah. Semoga dengan pengalaman ini mematangkan lagi diri saya dalam
liku-liku perjuangan dakwah.

KONGSI KEPADA RAKAN