Pelakon dan model terkenal, Juliana Evans yang mengambil keputusan untuk
menyambung pengajian di Akademi Filem New York menyatakan dirinya banyak
menimba pengalaman ketika menetap di Los Angeles selain ada mengintai peluang
berlakon.
“Saya seronok berada di sini kerana banyak pengalaman baru yang ditimba. Cara
mereka bekerja juga sedikit berbeza daripada kita. Di sini ramai kenalan yang sering
membantu saya, memberi peluang serta galakan kepada saya untuk bergiat aktif.
Jadi tidak terasa sunyi melainkan rindu kepada keluarga dan teman-teman rapat.”
“Namun, saya ambil keputusan untuk kembali kerana tanpa disangka walaupun tinggal
jauh beribu batu dari Malaysia, ada pelbagai tawaran menarik menanti saya.”
“Malah ada produser sanggup menunggu sehingga saya pulang dan baru mereka akan
mulakan penggambaran. Ini sangat membuatkan saya terharu kerana saya fikir mungkin
orang sudah tidak ingat kepada saya kerana bertahun juga menetap di LA. Insya-Allah
saya akan terbabit dalam sebuah produksi filem hujung tahun ini,” katanya.