Petaling Jaya: Seorang wanita membuat aduan polis selepas pemilik rumah disewanya
bukan saja gemar mengintai dia mandi malah, turut mencabulnya apabila mangsa
memberitahu hal itu kepada isteri lelaki berkenaan.
Mangsa yang berusia 21 tahun menyewa sebuah rumah di Damansara Damai, di sini,
dan kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.
Sumber polis berkata, mangsa yang bekerja di pasar raya dalam aduannya memberitahu
dia terpaksa menurut arahan lelaki terbabit kerana bimbang dicederakan selepas diacu
dengan pisau.
Menurutnya, mangsa menyewa satu bilik di rumah yang didiami sepasang suami isteri
sejak akhir bulan Januari dan dalam tempoh menginap itu lelaki terbabit beberapa kali
mengintainya mandi.
“Ketika itu, isteri lelaki terbabit tiada di rumah dan mangsa hanya tinggal berdua
dengan lelaki itu. Apabila mangsa memberitahu kejadian kepada isteri suspek, lelaki
itu menuduh mangsa cuba menghancurkan rumah tangganya.
“Bagi menyelesaikan masalah itu, suspek meminta mangsa duduk di sofa di ruang
tamu kononnya untuk berbincang, namun mengambil pisau dan mengugut mangsa
sebelum mencabulnya termasuk memaksa mangsa melakukan seks oral,” katanya.
sumber-http://www.hmetro.com.