Spa Khas Untuk Menyundal Di Puchong

 
Kuala Lumpur: Selepas lebih tiga bulan menjalankan aktiviti persundalan dengan
menawarkan khidmat mandian kolah berahi kepada pelanggan hidung belang, akhirnya 
sebuah pusat spa di Bandar Puteri, Puchong, dekat sini, diserbu oleh pihak berkuasa.

Serbuan yang dijalankan sepasukan 10 pegawai dan anggota polis dari Bahagian 
Pencegahan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Bukit Aman jam 11 
malam kelmarin itu berjaya menahan empat wanita dipercayai pelacur.

Ketika serbuan dijalankan, empat wanita itu dikatakan sedang melayan pelanggan, 
termasuk seorang dalam kolah jakuzi.

Pakej istimewa yang disediakan pusat spa itu membolehkan pelanggan dan pekerja 
seks mandi bersama dalam kolah menaikkan keghairahan sebelum mengadakan 
hubungan seks.

Serbuan diketuai Asisten Superintendan Muhammad Mohd Jais turut menahan seorang 
lelaki berusia 27 tahun dipercayai penjaga premis terbabit.

Muhammad berkata, empat wanita dipercayai warga Thailand itu ditahan kerana 
menyalahgunakan pas lawatan yang dimiliki mereka dengan bergiat dalam aktiviti 
pelacuran.

“Kami sentiasa memandang serius perkara ini dan akan menjalankan serbuan dari 
semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti tidak bermoral ini,” katanya.

Menurutnya, semua wanita berusia 20-an dan penjaga premis terbabit dibawa ke Ibu 
Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut.

Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat beberapa laluan sulit dibuat sindiket 
berkenaan yang disyaki digunakan oleh pelanggan dan pelacur di premis terbabit 
untuk melarikan diri ketika serbuan diadakan.

Turut ditemui ratusan kotak kondom yang disembunyikan dipercayai untuk diberikan 
kepada pelanggan.

KONGSI KEPADA RAKAN