NEW YORK – Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Umbrella’ dan ‘Don’t Stop
The Music’, Rihanna dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Fesyen sempena
2014 CFDA Awards yang berlangsung di New York City malam tadi.
Namun, kemenangannya itu ‘ditewaskan’ oleh adi busana yang dipakainya
semasa naik ke pentas bagi menerima anugerah berkenaan.
Gaun malam yang hampir menampakkan setiap inci tubuh penyanyi kelahiran
Barbados itu ternyata menarik perhatian penonton, pengkritik fesyen dan juga
pereka fesyen terkenal yang hadir.
Menonjolkan kesemua bahagian payudara dan punggung di sebalik untaian
kristal, gaya ‘berani mati’ Rihanna ini cuba dilembutkan dengan lilitan kain
ala-bohemian menutupi rambutnya.Bermotifkan jaring-ikan, gaun yang direka
khas oleh Adam Selman untuk Rihanna itu bertatahkan 23,000 biji kristal
Swarovski.
Pereka peribadi Rihanna, Mel Ottenberg mendakwa mereka telah cuba untuk
memilih pakaian daripada koleksi AW14 namun tiada yang berkenan, dan
akhirnya memilih gaun malam yang direka khas ini.
Rihanna dan Selman dikatakan telah mula bekerjasama mencipta gaun istimewa
ini sejak Anugerah MTV Movie pada April lalu di mana idea utamanya adalah
daripada Rihanna sendiri.
Penggayaan Rihanna malam tadi ini turut dilengkapi bebulu merah jambu
Pologeorgis, kasut tumit tinggi Manolo Blahnik, anting-anting Paul Morelli
dan cincin merah jambu oleh Jacob.
“Sejak kecil dulu, saya tidak ada banyak akses untuk berfesyen. Tetapi seingat
saya,fesyen adalah mekanisma yang saya gunakan untuk menepis tekanan.
Saya selalu berfikir yang ‘sesiapa boleh kalahkan saya, tapi mereka tak boleh
kalahkan pakaian saya’.
Dan sehingga kini, itulah prinsip yang saya pegang.” demikian ulas Rihanna
semasa menerima anugerah berkenaan, lapor ABN News.