Azilah Kes Altantuya Dicekup Bersekedudukan Dengan Isteri Orang


Pasti para pembaca masih ingat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri merupakan
salah seorang daripada individu yang didakwa terlibat dengan kes pembunuhan
berprofil tinggi model kelahiran Mongolia iaitu Altantuya Sharibuu beberapa 
tahun yang lepas.

Azilah telah ditangkap khalwat sekali lagi selepas disyaki bersekedudukan dengan
isteri orang di sebuah kuarters polis di Sepang, Selangor awal pagi tadi.

Azilah yang masih berstatus bujang ditangkap berdua-duaan dengan Musliha 
Makrani yang juga seorang anggota polis oleh suami Musliha sendiri.

Ketika ditangkap, Azilah ditemui sedang menyembuyikan diri dalam sebuah bilik 
di sebalik timbunan pakaian di tepi katil manakala ketiga-tiga anak Musliha 
sedang tidur.


Kemaskini dari Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tertuduh dalam kes pembunuhan wanita
warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006, Cif Inspektor Azilah Hadri, 
hari ini ditangkap khalwat bersama seorang anggota polis wanita. 

Mereka dikatakan ditangkap oleh suami wanita terbabit yang juga seorang
anggota polis pada kira-kira pukul 2 pagi di perumahan polis Ibu Pejabat
Polis Daerah Sepang. 

Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika
dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan khalwat itu. 

Katanya, Azilah, anggota Unit Tindakan Khas dan wanita tersebut akan
dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor atas pertuduhan khalwat
dan polis juga telah membuka kertas siasatan untuk tindakan tatatertib
terhadap mereka. 

"Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis," katanya. 

Isnin ini, Azilah sepatutnya hadir ke Mahkamah Persekutuan bagi prosiding
rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan dan pelepasannya
bersama seorang lagi tertuduh dalam kes itu, Koperal Sirul Azhar Umar, 43. 
Kedua-dua mereka didakwa membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit
Raja, Shah Alam, antara 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

-BERNAMA 
KONGSI KEPADA RAKAN