Berlaku Tembak Menembak Antara Polis Dan Penculik Di Sabah


KOTA KINABALU — Lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus
 syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad 
Datu ada kira-kira 2.45 pagi ini, selepas sebulan seorang pelancong wanita
warga China diculik di sebuah resort di Semporna.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib (gambar) berkata mangsa 
dikenali Yang Zai Lin, 34, berasal dari Guangzhao dan telah bekerja di 
syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd, milik warga China dari Hongkong 
yang beroperasi sejak tahun 2006,  selama tiga tahun.

“Dalam kejadian ini, sebuah bot berkuasa kuda 200 dinaiki lima lelaki, dua 
daripadanya berpakaian celoreng dan bertopeng. Mereka menggunakan 
senjata yang kita percaya M16. Tiga lagi berseluar pendek dengan pakaian
 preman.

“Bot ini telah menghampiri kawasan ternakan ikan seterusnya menaiki rumah
 kediaman pekerja ternakan ikan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini 
 hari ini.

Katanya kumpulan lelaki berkenaan kemudian memasuki sebuah bilik 
seorang pekerja wanita selepas menendang pintu dan bertanya di mana 
pengurus syarikat itu berada dengan menggunakan dialek bajau.

Bagaimanapun, katanya pengurus yang tinggal di bilik bersebelahan bilik 
 wanita itu yang keluar selepas terdengar bunyi bising, telah  ditangkap 
kumpulan lelaki berkenaan dan membawanya menaiki bot.

Hamza berkata selepas dimaklumkan kejadian di pusat ternakan ikan yang
 jaraknya 1.4 kilometer dari Silam pada pukul 2.53 pagi, polis terus men-
ggerakkan tiga bot dan bot Pasukan Polis Marin terserempak dengan bot
 penjenayah di kawasan perairan Pulau Mataking pada kira-kira 6.20 pagi.

“Penculik telah melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan dan 
anggota keselamatan membalas tembakan itu namun tidak mengenai sasaran.

 Anggota keselamatan terus mengejar bot tersebut yang menghala ke negara
 Filipina melalui kawasan Alice Reef,” katanya.

Katanya anggota keselamatan Malaysia terus mengejar bot penjenayah 
berkenaan sehingga memasuki kawasan perairan Filipina atas kebenaran 
pihak berkuasa negara jiran itu namun berhenti mengejar apabila bot itu
 memasuki perkampungan Saluag di selatan Pulau Sibutu atas faktor 
keselamatan.

Hamza berkata polis telah menahan 19 individu, 11 daripadanya etnik 
berketurunan Suluk dan selebihnya warganegara Indonesia di kawasan
kejadian bagi membantu siasatan.

Katanya cuma sembilan daripada tahanan berkenaan mempunyai dokumen
dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta
Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara seumur 
hidup dan dikenakan enam sebatan jika sabit kesalahan.

Polis percaya kumpulan berkenaan merupakan satu daripada kumpulan
 yang menculik untuk tebusan namun belum dipastikan sama ada kumpulan 
itu terbabit dalam kes penculikan seorang pelancong China di Singamata
 Adventures  Reef Resort di Semporna pada 2 April lalu. — BERNAMA
KONGSI KEPADA RAKAN