KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang akan
membuat laporan polis ke atas penyebaran maklumat palsu tentang kematian
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Ketuanya, Dr. Afif Bahardin berkata, AMK Pulau Pinang mengutuk perbuatan
tidak bertanggungjawab yang disebarkan di laman sosial Facebook oleh
‘Blue Wave Army’ tersebut.
Gambar itu memaparkan wajah Wan Azizah dengan memakai cermin mata
berada di dalam balutan kain kafan putih dan sekeping lagi gambar memaparkan
tiga orang lelaki sedang memasukkan jenazah ke dalam liang lahad.
“AMK Pulau Pinang mengutuk tindakan pemilik akaun Facebook dengan nama
‘Blue Wave Army’ yang menyiarkan berita fitnah bergambar tentang kematian
Wan Azizah semalam.
“AMKPP akan membuat laporan polis bermula hari ini,” katanya dalam satu
kenyataan media hari ini.
Afif dalam pada itu mendesak pihak polis memandang serius perkara tersebut
dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang memuat naik serta
menyebarkan berita palsu dan fitnah yang berniat jahat itu.
“Jika suspek yang dipercayai memuat naik gambar mayat Datin Seri Rosmah
Mansor tempoh hari boleh dikenakan tindakan segera, kami menggesa polis
melakukan tindakan pantas yang serupa,” katanya.-newshub