Jeritan guru selamatkan diri dari diperkosa penyamun


MIRI - Seorang guru wanita yang disamun di rumahnya, menyelamatkan diri
daripada menjadi mangsa rogol penyamun itu, dengan menjerit meminta tolong 
jirannya.

Guru berusia 23 tahun itu telah dipaksa lelaki berkenaan dengan menggunakan
parang, tetapi wanita itu bertindak menjerit sekuat hati menyebabkan penyamun
itu lari, tetapi sempat membawa bersama barang-barang yang disamunnya.

Ketua Polis Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata kejadian berlaku
pada jam 4 petang semalam, ketika guru itu berada di rumah bersama ibunya
di Permyjaya, apabila seorang lelaki bersenjatakan parang menceroboh masuk.

Lelaki itu mengarahkan dua beranak itu menyerahkan wang, barang kemas dan 
telefon bimbit dalam anggaran RM5,500, katanya pada sidang media di Ibu pejabat 
Polis Miri hari ini.

Gan berkata polis percaya lelaki yang sama sebelum itu cuba merogol seorang
pelajar perempuan tingkatan dua pada sebelah paginya, tetapi gagal.

Pelajar berkenaan juga tinggal di kawasan Permyjaya dan suspek menggunakan 
parang untuk mengancam mangsa, bertindak agresif dengan menumbuk, 
menampar dan mencederakan pelajar itu, kata Gan.

Pelajar itu kini menerima rawatan lanjut di hospital dan doktor mengesahkan dia
tidak dirogol.Berikutan dua kejadian itu, polis memburu seorang lelaki Iban 
berusia dalam lingkungan 20-an dan alamat terakhirnya juga di Permyajaya. 
-Bernama


KONGSI KEPADA RAKAN