Seorang isteri tergamak membuat laporan polis palsu mendakwa dirogol, gara-gara mahu menutup aib sendiri kerana menjalinkan hubungan sulit bersama teman lelaki.
Malangnya, tembelang wanita berusia 38 tahun itu terbongkar, setelah hasil pemeriksaan hospital mendapati tiada sebarang bukti dia dirogol atau berlaku kekerasan ke atasnya.
Menurut sumber, wanita terbabit dipercayai berlaku curang di belakang suaminya sejak lima tahun lalu, selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang juga pekerja di tempat yang sama.
“Sejak itu, mereka sering berjumpa termasuk mengadakan hubungan terkutuk dalam rumah wanita itu ketika suaminya tiada dirumah,” katanya.
Jelasnya, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, kelmarin, anak lelaki wanita terbabit yang berusia sembilan tahun, telah menjadi saksi perbuatan terkutuk ibu sendiri bersama teman lelakinya di dalam rumah berkenaan.
“Jeritan kanak-kanak ini telah menyedarkan suaminya yang sedang tidur lena dalam bilik utama. Suami wanita terbabit yang terkejut melihat lelaki itu dalam keadaan mencurigakan, bertindak mengejar lelaki terbabit,” katanya.
Katanya lagi, suami wanita itu mendapat pertolongan beberapa penduduk berhampiran yang turut mengejar lelaki terbabit.
Menurutnya, cubaan lelaki berusia 33 tahun itu untuk menyelamatkan diri gagal dan akhirnya dia dibelasah penduduk kampung termasuk suami wanita berkenaan.
“Lelaki terbabit kini dirawat di Hospital, kerana mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan termasuk lebam pada mata dan insiden itu sempat dirakamkan oleh suaminya sendiri,” katanya.
link video: klik