Penumpang Wanita Dicabul Dalam Tandas Pesawat


HONOLULU: Sebuah pesawat Japan Airlines terpaksa berpatah balik ke Honolulu 
selepas seorang penumpang lelaki mencabul kehormatan seorang penumpang wanita
di tandas pesawat.

Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menahan penumpang terbabit, Michael Tanouye, 
29, dari Hilo, Hawaii, pada malam Sabtu lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa 
Honolulu kerana mengganggu seorang anggota kru penerbangan dan melakukan
pencabulan.

Tuduhan pencabulan seks itu membawa hukuman maksimum kepada penjara seumur 
hidup.Menurut afidavit FBI, penerbangan itu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang 
Antarabangsa Kansai ketika Tanouye menceroboh masuk ke tandas berkenaan dan 
mencabul wanita itu.

Wanita terbabit yang dalam perjalanan pulang ke Jepun dengan ibunya selepas bercuti
selama empat hari di Hawaii, menggunakan tandas kira-kira sejam 45 minit selepas 
pesawat berkenaan berlepas.

Ketika bergelut dengan Tanouye, wanita itu berjaya menekan butang kecemasan di
dalam tandas berkenaan.Dalam afidavitnya, Ejen Khas FBI, Necosie Wilson berkata 
ibu wanita terbabit, atendan penerbangan dan penumpang lain cuba membuka pintu
tandas tetapi tidak dapat melakukannya kerana Tanouye menghalangnya.

Katanya, mereka terpaksa membuka pintu itu dengan menanggalkan skrunya.

Atendan penerbangan dan penumpang kemudian memberitahu FBI bahawa seorang
penumpang lelaki turut cedera ketika bergelut untuk mententeramkan Tanouye.

Sebelum kejadian itu, Tanouye dikatakan melaungkan sesuatu yang tidak sepatutnya
dan ibunya memberitahu atendan penerbangan bahawa dia menghidapi kemurungan
dan sedang mengambil ubat.

Dia kemudian berdiri dan kelihatan tenang sambil berkata, dia akan menziarahi neneknya.

Atendan penerbangan juga tidak memberinya minuman beralkohol kerana dia sedang 
makan ubat.Afidavit berkenaan menyatakan selepas kejadian itu, ibu Tanouye 
memberinya satu dos ubat dan dia terus tertidur.

Kapten penerbangan memutuskan untuk berpatah balik selepas terbang kira-kira dua 
jam berikutan kejadian itu.Jurucakap FBI di Honolulu, Ejen Khas Tom Simon berkata, 
polis Hawaii membawa Tanouye keluar dari pesawat sebaik mendarat di Honolulu
sebelum ejen FBI menahannya.

Suspek kini ditahan tanpa jaminan di Pusat Tahanan Persekutuan Honolulu. - AP

KONGSI KEPADA RAKAN