Menyundal Di Lorong Hanyir Ketika Aidiladha


Kuala Lumpur: Cuti umum Aidiladha ‘dimanfaatkan’ sepenuhnya segelintir warga 
asing dengan menjadikan rumah persundalan di Jalan Alor dan Jalan Thambipillay, 
Brickfields, di sini, sebagai lokasi melampiaskan nafsu.


Malah, tinjauan yang dilakukan semalam juga menguatkan lagi laporan bersiri Harian 
Metro Jumaat lalu mengenai empat kawasan pelacuran kelas rendah di ibu negara
iaitu Lorong Haji Taib, Pasar Pudu, Jalan Alor dan Brickfields di ibu kota yang 
dipenuhi pelacur wanita tempatan dan warga asing serta pondan yang beroperasi 
24 jam sejak puluhan tahun dulu.

Dalam laporan itu mendakwa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya 
mencontohi Datuk Bandar Surabaya yang bertindak berani menutup Gang Dolly yang
menjadi antara lokasi pelacuran tertua di Asia Tenggara.

Tinjauan selama sejam Harian Metro bermula jam 12.30 tengah hari mendapati hampir
semua lorong hanyir itu dipenuhi warga asing, kebanyakannya dipercayai buruh kontrak
terdiri daripada warga pelbagai negara.

Kebanyakan mereka yang datang secara individu atau berkumpulan dilihat keluar masuk 
bersilih ganti di bangunan lama dua tingkat itu.Malah, di setiap rumah tumpangan dipenuhi warga asing yang beratur menunggu giliran. 

Pemerhatian Harian Metro mendapati sepanjang laluan itu ‘lorong gelap’ itu beberapa
bapa ayam lengkap dengan walkie-talkie memerhati penuh minat setiap pelanggan dan 
sekiranya pelanggan terdiri daripada warga tempatan, mereka akan mula berhubung 
antara satu sama lain sebelum mengekori dari jauh.

Semua kawasan itu pernah diserbu polis termasuk premis disita DBKL, namun masih 
beroperasi seperti biasa berikutan sentiasa ada permintaan daripada pelanggan. 

Peniaga di Brickfields yang mahu dikenali sebagai Chandra, 30, berkata, setiap kali 
musim perayaan kawasan pelacuran bagaikan pesta dengan kesesakan luar biasa 
membabitkan kehadiran begitu ramai lelaki warga asing itu.

“Itu adalah pemandangan biasa di sini berikutan kawasan ini memang terkenal dengan 
 aktiviti pelacuran.“Sepatutnya pihak DBKL menutup terus rumah pelacuran berkenaan
 supaya kawasan bebas daripada aktiviti tidak bermoral,” katanya.

KONGSI KEPADA RAKAN