'SINI LAH KALAU BERANI..'

 KLANG – “Sinilah kalau berani… jumpa dekat luar, satu lawan satu,”. Itu kata
seorang lelaki yang juga pengunjung kelab malam yang tiba-tiba naik angin apabila 
ditegur anggota penguat kuasa supaya tidak menghampiri pelayan pelanggan (GRO)
yang ditahan dalam operasi bersepadu di Jalan Remia, Bandar Botanik di sini, awal
pagi, semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama Jabatan 
Imigresen Selangor kira-kira jam 2 pagi, lelaki berusia 30-an itu tiba-tiba menghampiri
seorang daripada GRO yang ditahan dan apabila ditegur tidak mengganggu wanita
berkenaan, dia tidak mengendahkannya, sebaliknya terus berbual.

Sambil memberi alasan kononnya anggota penguat kuasa bersikap biadab kerana 
menariknya ke belakang, lelaki itu yang mabuk cuba membuat provokasi supaya 
berlaku pergaduhan.

Pengarah Penguat kuasa MPK Andry Arman Masrom berkata, operasi bersepadu itu 
susulan aduan orang ramai mengenai ada premis pusat hiburan di bandar ini yang 
beroperasi tanpa lesen sah selain menggaji pekerja asing tanpa permit.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya melakukan risikan dan hasilnya enam premis 
diserbu dan semua didapati beroperasi tanpa lesen sah.

“Enam premis yang diserbu itu ialah lima pusat hiburan serta satu rumah urut yang 
bukan sahaja beroperasi tanpa lesen, malah turut menggaji pendatang asing tanpa izin.

“Sebenarnya serbuan ini kali kedua dilakukan di semua lima pusat hiburan berkenaan 
dan ia menunjukkan sikap pemilik premis yang seakan-akan tidak serik dan terus 
berdegil,” katanya.

Beliau berkata, semua premis berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 
6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1995 Pindaan 2001 Negeri 
Selangor bagi pusat hiburan manakala rumah urut pula dikenakan tindakan mengikut 
Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPK.

Dalam serbuan itu, turut ditahan ialah 19 GRO serta seorang lelaki berusia 22 hingga 
30 tahun kerana tidak memiliki permit perjalanan yang sah serta tidak mematuhi Akta
Imigresen, lapor Hmetro.

KONGSI KEPADA RAKAN