Pasangan Pengantin Nafsu Songsang

 
Moscow: Cinta memang tidak mengenal sesiapa, termasuk jantina dan kegilaan nafsu.
Di Russia, negara yang mengharamkan perkahwinan sejenis dan menganggap amalan 
itu sebagai penyakit mental, sepasang suami isteri semalam melafazkan ikrar untuk 
bersama ketika pengantin lelaki berpakaian seperti wanita.

Ia dianggap satu daripada perkahwinan paling kontroversi di negara berkenaan. 
Namun, pasangan Dimitriy Kozhuhov, 23, dan Ellison Brux, 21, mempunyai cara
tersendiri untuk membolehkan ‘cinta’ mereka disempurnakan.

  KOZHUKHOV dan Ellison kelihatan seolah-olah pasangan kembar pada hari perkahwinan mereka

Kozhuhov kini dikenali sebagai Alina Davis kerana bermekap serta berpakaian seperti
wanita. Dalam keadaan begitu, ketika mereka disahkan sebagai ‘suami isteri’ hadirin
melihat ada dua pengantin perempuan bergaun melalui detik menggembirakan.

Kozhuhov mengaku dia gemar berperwatakan serta bermekap seperti wanita dan 
keadaan itu menimbulkan kekeliruan kepada banyak pihak.Namun, kata Kozhuhov, dia 
dan Ellison amat mencintai satu sama lain. 

“Kami juga tidak menghadapi masalah ketika menghantar permohonan perkahwinan 
kepada pejabat pendaftar walaupun kami menjangkakan masalah akan berlaku,” katanya. 

Selepas melalui urusan pendaftaran, kata Kozhuhov, dia dihubungi ketua pejabat 
pendaftar dan diberi ingatan berkali-kali supaya dia tidak memakai gaun ketika 
dikahwinkan.

Kata Kozhuhov, undang-undang Russia menetapkan hanya lelaki boleh berkahwin 
dengan wanita.Perkahwinan di Pejabat Pendaftar Kutuzovsky Prospekt itu kemudian
tetap berlangsung dengan kedua-duanya hadir berpakaian gaun pengantin.

Namun, ia tidak berjalan tanpa halangan.

Pada peringkat awal Kozhuhov dan Ellison dilarang masuk melalui pintu depan, 
sebaliknya terpaksa ‘diseludup’ melalui pintu belakang.Kata Ellison, ketua pejabat 
berkenaan cuba menyembunyikan mereka kerana ia akan memalukan masyarakat
setempat.

Akhirnya, selepas dibawa masuk melalui pintu belakang, Kozhuhov dan Ellison 
dikahwinkan di pejabat berkenaan.“Kini saya gembira kerana gambar perkahwinan kami
dikongsi dan dibincangkan.

“Saya berharap kami dapat memberi inspirasi kepada pasangan lain untuk mencabar 
undang-undang ketat ini dan berkahwin secara terbuka,” katanya.- Agensi

KONGSI KEPADA RAKAN