SAYA sebenarnya tidak tahu apa yang dia mahukan. Malah saya menerima dirinya
seadanya dan mahu membimbing dia ke jalan yang benar,” ujar Mamat (bukan nama
sebenar) ketika meluahkan isi hati mengenai perkahwinannya yang hanya mampu
bertahan selama dua setengah bulan.
Bercerita lanjut Mamat memberitahu, perkahwinannya dilangsungkan berdasarkan
Bercerita lanjut Mamat memberitahu, perkahwinannya dilangsungkan berdasarkan
cinta dan tiada paksaan daripada mana-mana pihak walaupun hakikatnya dia me-
ngetahui kehidupan ‘hitam’ yang dilalui bekas isterinya itu sebelum mereka di
ijabkabulkan.
Dia yang juga merupakan seorang hamba Allah yang tidak akan terlepas daripada
melakukan kesalahan bagaimanapun sanggup menerima bekas isterinya itu. Malah
berniat untuk membimbing dan seterusnya meninggalkan kehidupan yang lalu.
“Secara jujur saya beritahu, kehidupan bekas isteri saya dahulu boleh dikatakan
seperti pelacur kelas atasan.
“Ini kerana setiap lelaki yang berdampingan dengannya pasti akan dibawa ke ranjang.
“Walaupun dirinya keji begitu saya sanggup ‘kutip’, malah menerima dia seadanya
dan melupakan segala kehidupannya yang lalu.
“Tapi saya tidak pernah menyangka semuanya hanya lakonan. Dia tetap meneruskan
kehidupannya bertukar-tukar pasangan dan mengajak teman-teman lelakinya ke ranjang
selepas kami berkahwin,” ujarnya lanjut.
Tidak cukup dengan itu, menurut Mamat, segala pemberian semasa perkahwinan
mereka dahulu termasuklah wang hantaran berjumlah RM10,000 semuanya diserahkan
kepada teman-teman lelakinya.
Mamat yang ternyata kecewa dengan perangai bekas isterinya pada mulanya tidak
mempercayai bahawa wanita itu sanggup berbuat demikian memandangkan dia pernah
berjanji untuk meninggalkan segala-galanya untuk memulakan kehidupan baharu.
Ternyata janji tinggal janji. Malah Mamat memberitahu, bekas isterinya seolah-olah
amat ketagih dengan perangai lamanya yang dahagakan seks lelaki lain serta tidak
puas dengan hubungan seks ‘halal’ bersama suaminya sendiri.
Mamat pernah terfikir sekiranya bekas isterinya itu sanggup dan ingin berubah sudah
pasti dia akan memikirkan mengenai dirinya yang sudah ‘kotor’ dan ‘tercemar’
pula diterima oleh seorang lelaki yang telah mengetahui segala-galanya kegiatan
tidak bermoral dirinya selama ini.
Apa yang lebih mengecewakan Mamat, bekas isterinya tidak pernah rasa bersalah
dengan apa yang dilakukan.
Dia juga pernah menipu Mamat dengan memberitahu bahawa dia perlu bekerja di
luar daerah. Tetapi pada hakikatnya dia pergi berfoya-foya dengan teman lelakinya
di sebuah pusat peranginan terkenal di Pahang.
“Sebenarnya daripada ‘kerja luar daerah’ itulah segala-galanya terbongkar, apabila
saya menjumpai resit dia menginap di sebuah hotel di pusat peranginan tersebut.
“Bukan itu sahaja, saya turut menjumpai resit minuman di pusat peranginan itu yang
tercatat pukul 3 pagi dan hanya ada dua pesanan minuman sahaja dibuat.
“Waktu itu saya berasa sangat dihina dan ditipu hidup-hidup. Setelah bertanya dan
disoal, akhirnya bekas isteri saya mengaku berada di pusat peranginan itu bersama
kekasihnya,” katanya dalam nada sebak.
Begitupun, Mamat berkata, dia tetap memaafkan bekas isterinya itu dan ingin memberi peluang kedua kepadanya. Namun lain pula yang jadi apabila seorang
rakan memberitahu dia terserempak dengan bekas isterinya dengan lelaki lain dalam
keadaan begitu intim.
Mamat yang begitu tawar hati dengan perangai bekas isterinya yang telah diberikan
peluang untuk menginsafi diri itu akhirnya mengakibatkan mereka berdua bergaduh.
Dalam pergaduhan itu bekas isterinya sanggup menghina dan mencerca dirinya.
Kata Mamat, dia sememangnya tidak pernah menyangka bahawa bekas isterinya
sanggup menghina dirinya semata-mata ingin bersama dengan teman-teman lelakinya.
Dia akhirnya mengambil keputusan bercerai dengan wanita itu.
Apa yang lebih mengejutkan Mamat, selepas perkara tersebut berlaku, dia cuba
berbincang perkara itu dengan keluarga mentuanya tetapi sangkaannya tidak seperti
yang diharapkan.
“Cuba bayangkan, saya berkunjung ke rumah mentua di Pantai Timur untuk berbincang
mengenai perkara tersebut serta memberitahu perkara yang telah berlaku antara saya
dengan anak mereka.
“Tetapi apa yang mengejutkan ialah mereka tidak mempercayai apa yang diceritakan
oleh saya. Mentua menyokong apa yang dilakukan oleh anak mereka.
“Di sini nampak sangat seolah-olah mereka tahu mengenai kegiatan anak mereka
selama ini tetapi tidak menegah apatah lagi memberi nasihat untuk meninggalkan
segala perbuatan terkutuk itu,” jelasnya.
Mamat yang kini tetap menduda tidak pernah terfikir untuk berkahwin lain. Peristiwa
tersebut tetap segar dalam ingatan walaupun telah berlaku empat tahun yang lalu.
Yang pasti, hari ini setelah empat tahun, Mamat baru-baru ini akhirnya menerima
permohonan maaf daripada bekas isterinya atas apa yang telah dilakukan.
Malangnya Mamat menegaskan, dirinya sama sekali tidak akan memaafkan perbuatan
bekas isterinya itu.Mamat memberitahu dia sebenarnya bukan berdendam tetapi
sehingga kini telinganya masih terngiang-ngiang segala cercaan serta makian yang
pernah dihamburkan oleh bekas isterinya itu.
Walaupun tidak pernah ambil peduli lagi akan kehidupan bekas isterinya selepas
mereka bercerai, Mamat mendapat tahu bahawa bekas isterinya kini terkontang-kanting ditinggalkan oleh setiap teman lelakinya apabila telah mendapat teman
wanita lain.
“Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan dalam hal saya ini mungkin tuhan
ingin menunjukkan saya sesuatu.“Mula-mula teman lelakinya meninggalkannya untuk
seorang wanita lain dan selepas ini tidak tahu pula apa yang akan berlaku.
“Cuma satu apa yang saya harapkan agar dia segera bertaubat dan menginsafi
dengan apa yang telah berlaku sebelum semuanya terlambat kerana ajal maut kita
tidak boleh jangka,” beritahu Mamat sebelum mengakhiri bicara.