HUKUM MENGELUARKAN AIR MANI DILUAR RAHIM



Soalan: Saya dan suami saya merancang keluarga dengan kaedah mengeluarkan air 
mani di luar rahim. Apakah ini tidak dianggap menolak kurniaan Allah, atau membunuh
benih yang boleh menjadi anak?


Jawapan:
Perbuatan mengeluarkan air mani diluar rahim ketika melakukan persetubuhan
dinamakan ‘azal. Ia biasanya dilakukan untuk mengelakkan dari mengandung. Hal ini 
berlaku sejak zaman Nabi s.a.w. Ini seperti kata seorang sahabah yang terkenal Jabir 
bin ‘Abd Allah:

كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْقُرْآنُ يَنْزِلُ
“Kami melakukan ‘azal pada zaman Nabi s.a.w. dan Al-Quran sedang turun”
 (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maksud Jabir mereka melakukan perkara tersebut pada zaman Nabi s.a.w iaitu masa
al-Quran masih diturunkan tetapi mereka tidak pun dilarang oleh al-Quran. Maka
dengan ini mengeluarkan air mani di luar rahim untuk mengelakkan mengandung 
adalah diharuskan. Sama dalam hal ini pil perancang untuk mengelakkan mengandung.

Namun oleh kerana wujudnya hadith Muslim yang menamakan ‘azal sebagai al-wa`d 
al-khafi iaitu membunuh anak secara senyap, maka kebanyakan ulama memakruhkan
perbuatan ini. Di samping itu, hadith yang lain riwayat Muslim juga menyatakan
bahawa seseorang yang cuba melakukan ‘azal jika Allah kehendaki tetap akan mendapat
anak. Ini mungkin kerana dia tidak dapat mengawal pancutan air mani sebelum dia 
mencabutnya.

Perlu diingatkan, oleh kerana perbuatan ini boleh menyebabkan isteri hilang kelazatan
persetubuhan, atau tidak sampai kemuncak kelazatannya (climax), maka suami yang 
ingin melakukannya hendaklah mendapat keizinan isteri.

Ini kerana persetubuhan adalah hak bersama suami dan isteri. Demi keadilan dan hak 
isteri, maka izinnya perlunya perlu diminta. Inilah pendapat yang paling kuat kebanyakan
ulama.

Sehingga al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (wafat 463H) berkata: “Tiada khilaf di kalangan
ulama bahawa tidak boleh dilakukan ‘azal dengan isteri yang merdeka melainkan 
setelah mendapat keizinannya. Ini kerana persetubuhan adalah daripada haknya” 
(Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 10/385, Beirut: Dar al-Fikr).

Di samping perlu difahami, adapun hasrat mencegah kehamilan jika sebabkan bimbang 
kepapaan, atau kekurangan rezeki, atau kurang kemewahan adalah diharamkan kerana
ianya menyamai perbuatan musyrikin dan tidak meyakini rezeki Allah.

Jika disebabkan keadaan tertentu yang mendesak seperti kesihatan atau kesibukan mak ia diizinkan. Namun jika digunakan pencegah kehamilan secara berterusan tanpa sebab 
adalah diharamkan oleh para ulama.

Ini jika dibiarkan akan mengurangkan jumlah umat Islam. Dinasihatkan agar kita 
memperbanyakkan zuriat, kerana ianya menambahkan kekuatan dan suara umat islam 
di negara ini.-Sumber: acaiputra.blogspot.com 

KONGSI KEPADA RAKAN