Pengakuan Gadis 19 tahun Jadi Mangsa Rakus Sepupu Sendiri


Remaja comel yang baru berusia 19 tahun ini berasal dari salah satu negeri di
Pantai Timur. Dia dibesarkan oleh nenek dan datuk selepas ibu dan ayahnya 
berpisah ketika usianya mencecah dua tahun.

Tertanam segunung impian di dadanya apabila dewasa kelak, segala pengorbanan
dan kasih sayang yang dicurahkan oleh datuk dan nenek akan dibalas sebaik
mungkin.

Namun segalanya berubah dengan sekelip mata apabila dia kini sedang sarat 
mengandung lapan bulan hasil daripada perbuatan terkutuk seorang lelaki 
yang dipanggil Angah (bukan nama sebenar) iaitu sepupu kepada abang tirinya.

Saat pertama kali bersua muka dengan Aina (bukan nama sebenar) terdetik
perasaan kasihan dalam hati penulis kerana ketika ini tempat dia bukanlah 
di rumah perlindungan Taman Sri Puteri Cheras.

Sebaliknya dia sepatutnya berada bersama rakan-rakan di sekolah menuntut 
ilmu demi membela nasib keluarga.

Daripada riak wajahnya yang putih bersih itu tergambar seribu kesedihan yang
terpaksa ditanggung akibat perbuatan tidak bertanggungjawab individu yang
sepatutnya melindunginya.

Akibat daripada itu, dia kini seringkali trauma apabila berjumpa dengan lelaki 
dan terasa seperti mahu lari daripada mereka kerana sejarah hitam pernah 
dilaluinya ketika berusia 15 tahun.

Akuinya, dia bukanlah seperti remaja lain yang gemar bersosial bahkan
hubungan dia dengan Angah tidaklah rapat.

“Kami juga tidak bersekolah di tempat sama. Kalau Angah datang rumah pun 
 sebab nak berjumpa dengan abang dan kakak tiri saya,” katanya.

Imbas Aina, tragedi hitam yang berlaku pada waktu petang pada tahun lepas 
telah meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.

“Ketika itu saya tinggal berseorangan di rumah kerana keluarga keluar ke 
 bandar. Pada hari kejadian, ibu ada berpesan bahawa Angah akan datang 
 ke rumah pada petang itu untuk menghantar beras.

“Namun sedar-sedar saya berada di sebuah rumah kosong yang terletak di 
 hujung kampung.

“Saya cuma ingat pada petang itu Angah datang rumah untuk menghantar beras
 dan saya beritahu supaya dia tunggu di luar kerana tiada orang di rumah tetapi 
 tiba-tiba terasa mulut saya ditekup dengan tangan dari arah belakang.

“Apabila sedar saya dapati diri berada di sebuah rumah kosong dalam keadaan
 yang amat memalukan.

“Hanya saya dan Angah berada di dalam rumah kosong tersebut, manakala tiga 
 orang rakannya yang lain hanya menunggu di luar,” ulas Aina.

 Aina berkata, selama empat hari dikurung dan beberapa kali dipukul kerana 
cuba melarikan diri, malah kesemua tingkap di rumah tersebut turut dipaku.

“Dalam tempoh itu juga saya tidak diberi makan, malah dipukul dan didera
 dengan teruk di badan,” ujarnya.

Selepas keluarga menemui semula Aina, abang-abangnya telah memukulnya
kerana menyangka dia cuba melarikan diri dari rumah.

“Badan saya bukan sahaja dipukul malah kepala saya diketuk dengan lampu 
 suluh sehingga lebam dan berdarah oleh abang.

“Mereka tidak percaya saya dirogol malah sengaja menuduh saya cuba melarikan 
 diri dari rumah.

“Selepas kejadian itu saya jatuh sakit selama dua minggu dan trauma apabila
  melihat lelaki walaupun abang sendiri,” katanya.

Cerita Aina, selepas kejadian itu setiap hari neneknya membawa dia berjumpa 
doktor untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan dia tidak mengandung.

Namun, penderitaan gadis ini belum berakhir kerana selepas dua bulan dia 
telah disahkan mengandung.

“Ketika itu, bercampur perasan malu dan geram memikirkan nasib dan cara 
 untuk berhadapan dengan rakan-rakan di sekolah.

“Keluarga mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan, tetapi doktor 
 memberitahu sudah terlambat kerana ketika itu janin dalam kandungan sudah 
 mula membesar,” katanya.

Ujar Aina, kerana malu untuk berjumpa orang ramai dan rakan-rakan di sekolah 
dia telah menangguhkan persekolahan sementara menunggu bersalin.

Ujarnya, sebelum dihantar pusat penjagaan Taman Sri Puteri Cheras oleh emak-
nya, dia pernah tinggal di rumah keluarga angkat yang ingin mengambil anaknya 
untuk dijadikan sebagai anak angkat.

“Tetapi tidak lama saya tinggal di situ kerana ibu angkat pernah beberapa kali 
 melemparkan bantal dan membaling pinggan ke arah saya.

“Selepas kejadian itu, emak membuat permohonan kepada Jabatan Kebajikan 
 Masyarakat (JKM) memohon supaya saya diterima tinggal sementara di sini 
 sehingga melahirkan anak,” katanya.

Ditanya perasaannya selepas tinggal di rumah perlindungan ini, ujar Aina dia 
berasa lebih tenang dan selamat berbanding hanya menghabiskan masa di rumah.

“Di sini saya rasa selesa dan tidak malu kerana kawan-kawan juga senasib 
dengan saya selain belajar untuk menghormati orang lain,” katanya.

Walaupun gadis ini sedang melalui saat getir dalam hidupnya, tetapi dia berazam
selepas selamat melahirkan anak dia akan menyambung semula pelajarannya 
yang tertangguh dan meneruskan kehidupan yang baru 

KONGSI KEPADA RAKAN