Saya tak tahulah sama ada cerita nasi kangkang itu betul atau tidak, tetapi melalui
pembacaan dan rujukan, saya terasa nasib diri saya sebagai suami ada kaitan
Itu permulaan cerita Saifuddin Bahari dari Pandamaran, Kelang yang kesal tidak
mampu berbuat apa-apa selain mengikut sahaja apa kata isteri sejak berkahwin
empat tahun lalu.
“Usia perkahwinan kami masih muda dan kami pun masih belum dikurniakan
zuriat. Tetapi selama berkahwin, saya jadi seperti pak turut yang disuruh duduk
saya duduk, disuruh berdiri, saya berdiri.
“Saya langsung tak berani bersuara dan hanya mendiamkan diri melihat
perangai isteri saya memang tidak seperti isteri-isteri rakan-rakan yang begitu
menghormati suami,” cerita lelaki berusia 32 tahun ini.
Bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan, Saifuddin berkata, rumah
tangga nya dibina atas dasar cinta yang terjalin selama dua tahun.
“Ketika berkawan, isteri saya merupakan seorang gadis yang penuh sopan santun
dan kalau bercakap suaranya amat perlahan.
“Memang itulah yang menjadi tarikan saya untuk menjadikan Laila suri hidup
dan dia tidak menolak apabila saya menyuarakan isi hati.
“Segalanya berjalan lancar sehinggalah tiba hari pernikahan yang disambut
penuh meriah dengan dihadiri saudara mara dan sahabat handai,” katanya.
Jelas Saifuddin, dia merasakan dirinya amat bertuah kerana berjaya memiliki
Laila yang disifatkan cukup sempurna sebagai isteri.
“Kami berbulan madu di Cheng Mai, Thailand selama satu minggu dan hidup
saya ketika itu amat bahagia apa lagi isteri tersayang ada bersama.
“Saya sering berangan agar hubungan kami ini akan kekal selamanya begitu
dan tidak putus berdoa agar cepat dikurniakan zuriat untuk menyerikan lagi
kebahagiaan kami.
“Malangnya, hubungan yang diharapkan itu cuma dirasai selama satu bulan
sahaja selepas kami menjadi suami isteri,” jelasnya.
Menurut Saifuddin, dia tiba-tiba merasakan dirinya terlalu kecil dan semakin
hari semakin takut untuk bertentang mata dengan isterinya sehinggalah ke hari
ini.
“Saya tidak diperlakukan seperti seorang suami, sebaliknya saya sering di jadikan
seperti budak suruhan untuk buat itu dan ini.
“Hairannya, saya tidak pernah membantah dan tidak boleh bersuara pun untuk
mengatakan tidak pada setiap arahannya.
“Hubungan kelamin sempat berlaku selama setahun sahaja dan selepas itu, saya
tidak berupaya untuk bersamanya seperti orang hilang selera makan,” ujarnya
lagi sambil meneguk minuman yang dipesan.
Saifuddin berkata, keluarganya tidak pernah tahu masalah yang dialaminya
kerana Laila cukup pandai berlakon bila mereka pulang ke kampung.
“Arwah ibu saya perah bertanya kenapa saya seperti orang sakit dan tidak
setegas dulu tetapi saya bagi alasan umur yang semakin meningkat menyebabkan
perangai asal turut berubah.
“Laila cukup baik dengan keluarga saya dan memang tidak akan nampak ada
masalah dalam hubungan kami selama ini.
“Lagi pun dia tak pernah meninggikan suara pada saya dalam keadaan apa
sekali pun menyebabkan saya tidak mahu berpisah dengannya,” ceritanya lagi.
Soal makan minum kata Saifuddin, sejak mereka tidak berhubung kelamin,
Laila tidak lagi menyediakan makan minumnya.
“Sesekali kalau dia masak, pandai-pandailah saya ambil dan makan sendiri.
Untuk makan bersama memang sangat jarang berlaku.
“Sebenarnya saya tidak patut bercerita hal rumahtangga pada orang lain tetapi
saya sangat tertekan memikirkan apa kesudahan nasib saya. Adakah saya dayus
dan tidak layak bergelar suami?
“Adakah benar saya termakan ‘nasi kangkang’ hasil perbuatan isteri sendiri
menyebabkan saya sukar untuk melepaskannya?,” soal Saifuddin.
Bukan untuk menuduh isteri sendiri tetapi apa yang dibaca selama ini semakin
mencelarukan fikirannya.