PETALING JAYA: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang menanggung
beban akibat tragedi MH370 kini berdepan masalah dalaman serius apabila
hampir 300 kru kabinnya meletak jawatan menyebabkan syarikat kerugian dari
segi kos latihan mencecah RM30 juta dalam tempoh dua tahun.
Faktor tekanan kerja, selain ‘dipancing’ syarikat penerbangan lain antara
yang mendorong kira-kira 120 juruteknik pesawat, jurutera (40), pramugari
dan pramugara (80) dan 30 juruterbang menamatkan perkhidmatan mereka
di syarikat berkenaan.
Kebiasaannya, tindakan meletak jawatan itu berlaku apabila kru kabin selesai
menjalani latihan yang dibiayai sepenuhnya syarikat yang dikatakan semakin
kurang memberi tumpuan terhadap kebajikan kakitangan sejak tiga tahun lalu.
Sumber memberitahu mStar Online, sudah beberapa tahun syarikat gagal
memberi bonus,keistimewaan kakitangan mendapat tiket penerbangan untuk
bercuti bersama keluarga juga terhapus, selain beban tugas yang meningkat
kerana kekurangan kakitangan.
“Pelbagai faktor ini menyebabkan kakitangan semakin tidak bersemangat
untuk terus berkhidmat dengan syarikat hingga sejumlah besarnya berhenti
tanpa mengambil kira sumbangan syarikat yang membiayai sepenuhnya latihan
bagi mendapat tauliah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
“Setiap kali kakitangan terbabit akan menamatkan latihan, sudah ada tawaran
kerja daripada syarikat penerbangan lain dengan kadar gaji lebih tinggi, ia
seolah-olah ada sindiket yang memerhati setiap kakitangan MAS dan menunggu
masa sesuai untuk‘memancing’ mereka,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Maklumat yang diperoleh menunjukkan MAS memperuntukan sejumlah dana
yang besaruntuk program latihan kakitangannya iaitu RM200,000 untuk setiap
juruterbang MAS yang wajib menjalani latihan selama dua tahun dan
RM190,000 pula kos bagi melatih jurutera penerbangan untuk tempoh latihan
lima tahun.
Selain itu, kos latihan selama dua tahun untuk setiap juruteknik pula sebanyak
RM75,000,manakala bagi pramugari dan pramugara pula tempoh latihan
sepanjang empat bulan membabitkan perbelanjaan RM50,000 seorang.
Sumber itu berkata, sebagai syarikat penerbangan nasional, setiap tenaga
pakar MAS ‘ada harga’ di pasaran industri penerbangan, sama ada di dalam
atau luar negara.
“Siapa nak kerja dengan MAS kalau ada syarikat yang tawarkan gaji lebih
RM30,000 sebulan bagi jurutera berpengalaman antara tujuh hingga 10
tahun dan ada juga juruteknik yang ditawarkan RM8,000 sebulan berbanding
hanya RM3,000 di MAS,” katanya.
Ditanya sama ada tragedi MH370 memberi kesan terhadap kakitangan syarikat
itu, sumber itu berkata, ia menambah kesengsaraan mereka kerana tentunya
syarikat yang menanggung rugi RM1.7 bilion sebelum ini akan berada dalam
situasi lebih parah.
“Kalau bukan kerana MH370 pun semangat kerja kakitangan MAS sudah
luntur sejak tiga tahun ini,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, jadual kerja kru kabin yang membebankan memaksa
mereka bekerja untuk tempoh lama termasuk melalui penerbangan antarabangsa
dan disambung dengan tugasan domestik sebelum dibenarkan bercuti.
“Situasi ini menyebabkan kru kabin tertekan daripada segi mental terutama
apabila terpaksa berpisah lama dengan keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, pengurusan MAS tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan
komen – Mstar