Padah Bersetubuh Dengan Kekasih Tingkatan Dua


KOTA BHARU - Padah buat seorang buruh ladang kerana kesalahan merogol 
kekasihnya yang berusia 14 tahun, dia dihukum penjara tujun tahun dan dikenakan 
dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini.

Hukuman diputuskan hakim, Mohd Yusoff Yunus terhadap Mohd Sauti Abdullah,
20, selepas tertuduh mengaku salah atas tuduhan itu.

Tertuduh yang beralamat di Kuala Krai tersebut didakwa merogol mangsa yang ketika
itu berusia 14 tahun 11 bulan di rumahnya di Bukit Sireh, Kuala Krai, antara jam 4.30 
pagi hingga 5 petang, 13 Januari lalu.Tertuduh sebelum itu pergi ke rumah mangsa pada 
awal pagi hari sama dan membawanya pulang ke rumah di alamat berkenaan.

Tibanya di rumah, tertuduh membawa masuk mangsa ke dalam sebuah bilik dan 
beberapa kali merogolnya sebelum kedua-dua mereka keluar dari rumah itu.

Bapa mangsa yang menyedari kehilangan anaknya kemudian mencari mangsa sebelum 
mangsa pulang ke rumah pada jam 5 petang dan memberitahu bapanya dia dirogol oleh 
tertuduh.

Pada prosiding itu, peguam, Mohamad Asyraf Zakaria merayu bagi pihak anak guamnya
itu supaya mahkamah memutuskan hukuman ringan dengan alasan tertuduh dan mangsa 
adalah pasangan kekasih.Katanya, insiden itu juga berlaku tanpa perancangan atau 
paksaan.

“Tertuduh ikhlas menginsafi kesalahan yang dilakukan. Kesalahan ini juga adalah 
kesalahan pertamanya dan dia masih muda. Hukuman penjara lama juga tidak akan 
dapat menghalang pasangan kekasih lain daripada membuat kesalahan,” katanya.

Alasan peguam berkenaan bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya negeri, 
Asmah Azahari yang memohon pihak mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi 
menyampaikan mesej kepada umum bahawa mahkamah mengambil serius kesalahan
seperti itu.

“Mangsa hanya berumur 14 tahun, manakala tertuduh pula 20 tahun. Apa yang tidak 
dirancang, sedangkan mangsa diambil daripadanya rumah pada jam 4 pagi dan pulang
hanya pada jam 5 petang.

“Mereka pasangan kekasih dengan perbezaan umur enam tahun. Tertuduh mengambil 
kesempatan terhadap mangsa atas nama sebagai pasangan kekasih,” katanya.
KONGSI KEPADA RAKAN